abah kesayangan kakak |
Kakak dan Abah
Tahun 1998, semasa tandas rumah Atuk Singah sekadar jamban berdindingkan dan beratapkan zink berkarat. Sekilas Tuk Tamam lalu, aku boleh melihat dengan jelas dari dalam ruang itu menerusi lubang-lubang kecil yang terhasil dek terkena hujan reput dek teriknya panas matahari. Aku sebagai anak kecil yang hanya berumur 7 tahun mengeluh apabila perut memulas jam 2 pagi. Selalu aku tepuk-tepuk tangan abah, 'abah...abah...kakak nak berak, abah...bangun bah...teman kakak berak'. Abah terjaga, bagaikan ada getah skrap melekat antara badannya dan tilam usang itu, liat sungguh nak bangun. Nama pun bapa. Dia berjalan mendahului aku bersuluhkan lampu picit menuju ke belakang rumah. Pokok ciku nampak seperti hantu raya, pokok pisang menyembunyikan pontianak dan aku yang sakit perut makin takut. 'Abah tunggu kat sini, kakak pergi masuk..' Arahan tu aku tak berapa suka; abah tunggu bawah lampu dekat reban ayam 'kokokokk kokk kokk...' ayam busuk bau tahi. Aku tak yakin nak masuk sebab menurut majalah mastika, hantu raya suka duduk dalam tempat gelap, nanti kaki berbulunya yang panjang itu bertenggek dia pintu jamban. Dengan imaginasi aku, aku mencangkung dengan keadaan yang paling tidak tenteram..Aku berpaling ke belakang, melihat terus ke dalam lubang jamban: apa akan ada tangan berdarah keluar dari lubang gelap itu dan menarik punggug aku masuk kedalamnya? 'Line clear..okey aku selamat'..Usai 'urusan-urusan' itu, aku tolak pintu jamban yang seperti pondok itu dengan sepenuh tenaga, aku kan ketua sailormoon. Sambil menuruni anak tangga, seliparku yang basah tadi serta merta disalut dengan pasir ibarat nugget Ramli yang mak selalu goreng di petang hari. Abah melambai tangannya laju, menyuruh aku datang padanya. 'Kenapa lama sangat?'..aku diam sebentar 'kakak dah tak berak 3 hari..' ujarku naif..Abah sekadar gelak lalu memimpin tanganku.
Subscribe to:
Posts (Atom)